J3fry
Setiap individu yang berfikiran waras dan matang haruslah sentiasa bersedia dan kehadapan dalam isu-isu memilih pimpinan ini, mengenal seseorang pemimpin melaui sikap,kecenderungan dan kekuatan pemimpin itu haruslah menjadi salah satu resepi bagaimana seseorang individu menilai bakal pemimpin yang mereka inginkan. Tidak kira siapapun, kita diberi kelebihan masing-masing, samada kita diberikan kuasa selaku pemimpin, kita harus adil kepada diri sendiri dan orang dibawah kita, samada kita selaku orang yang dipimpin kita punya hak untuk menjadi rakyat yang matang dan profesional dalam menilai pemimpin kita.

Darisegi pemilihan pemimpin ada yang mengatakan kita harus memilih pimpinan yang benar-benar mengikut ciri-ciri sejati dan “Perfect”, ada pula yang berpendapat seseorang pimpinan itu haruslah bijak pandai dalam pelajaran dan ada pula yang berpendapat pemimpin itu dipilih kerana hubungannya dengan rakyat bawahan serta macam-macam lagi kaedah yang begitu subjektif untuk kita membenarkan ia sebati dan sempurna bila diadun. Silap menilai untuk memilih pemimpin yang terbaik seringkali menjadi kesalahan utama buat kita. Kesannya cukup-cukup terasa bila anda berada disisi pimpinan. Inilah kesilapan yang benar-benar membuatkan sesebuah organisasi itu hancur bersilih ganti, bila “warisan” ini dikekalkan dan diturunkan ia tidak mampu menjanjikan sesuatu perubahan, malah ia “menjanjikan” satu keadaan yang amat kucar-kacir.

Kerana simpati dan menjaga dasar-dasar persahabatan yang ikatannya yang dikatakan lebih dari saudara, kita sanggup menggadai kepentingan sosial yang jauh lebih utama untuk difikirkan dan dek kerana kemahsyurannya, kita kehilangan dan seolah-olah buta melihat manusia lain yang jauh lebih berbakat dan dek kerana secubit jasa yang kita pernah terima, kita tertutup minda untuk menilai pimpinan yang kita pilih dengan lebih mendalam.
Read more
J3fry
Tatkala awan kelabu mula mundur untuk pulang ke kamar peraduan,sepasang pipit comel masih menari mengikut lagu hatinya. Kelihatan bayu malam seakan tidak sabar-sabar untuk keluar berjalan. Fahri masih leka dibelai angin petang yang berpuput lembut menghempas pipinya. Sepasang matanya masih tak berkelip memandang ke arah langit. Ya,hidup ini umpama langit, bisik hatinya. Langit tak selalunya cerah. Dan dia akur andai hidup ini tak akan selalunya indah. Sejenak, mindanya menayangkan kembali video rakaman hidupnya lima tahun lepas. “Fahri ,asal nama ayah kau Abdullah? Bukan ke orang panggil ayah kau Pak Leman,” tanya Badrul.”Ye lah fahri. Asal ek? Entah-entah kau bukan anak Pak Leman,” ujar Rizal dalam nada menyindir diiringi gelak tawa teman-temannya. Saat itu,Fahri cuba memekakkan telinga. Dia tepu,jemu dengan sindiran teman-temannya terutama Rizal. Persoalan mereka sebentar tadi dibiarkan tergantung tanpa jawapan. Lantas, Fahri meneruskan latihan matematik yang diberikan oleh cikgu Latifah. Di satu sudut di hujung kamarnya, Fahri diam membatu. Dirinya seakan mengiyakan persoalan Rizal. Walaupun dia masih belum sepenuhnya mengerti akan semua itu,tapi naluri ingin tahu yang menjalar dalam hatinya mendesak dia untuk bertanya pada ayahnya segera. Lantas,dia menuju ke arah Pak Leman yang asyik membelek akhbar. “Ayah, tadi ada kawan fahri tanya kenapa dalam buku Fahri nama Fahri bin Abdullah bukan Sulaiman? Bukan ke nama sebenar ayah Sulaiman?”Seketika Mak Leha berhenti melipat kain. Berdebar menanti reaksi dan tindakan suaminya. ”Hmm,Fahri, kawan-kawan Fahri mungkin tak tahu kalau ayah Fahri ada dua nama.” Tersenyum Mak Leha.Lega.Boleh ke seorang tu ada dua nama? Fahri masih belum berpuas hati.Hmm,boleh. Mari duduk atas riba ayah sayang,bacakan surat khabar ni untuk ayah,Fahri kan dah pandai membaca,mata ayah pedih la, pujuk Pak Leman untuk mengalihkan perhatian Fahri. Pak Leman mengeluh kecil. Bimbang rahsia akan terbongkar,tapi sampai bila? fahri berhak untuk mengetahuinya. Mungkin belum tiba masanya,fikir Pak Leman.
Dalam menongkah arus kehidupan di dunia yang serba mencabar,acap benar ujian bertandang tanpa diundang. Untuk itu,kita perlu sentiasa bersedia,iman kalau sekadar setebal kulit bawang,mana mungkin dapat digapai walau segenggam tabah. Fahri akur,dia perlu tahu ynag dirinya perlu menjadi seperti pohon,tetap menghasilkan buah walau dibaling dengan batu. Dan dia cuba menghadiahkan segaris senyuman pada teman-teman yang masih menghinanya,namun dia tidak setegar itu. Mereka perlu tahu, disebalik senyum palsu itu,hati Fahri terluka.Dia tidak mahu membebankan hati kedua orang tuanya. Kerana Fahri sedar,bukan setitis pengorbanan dan kasih sayang Pak Leman dan Mak Leha kepadanya. Fahri umpama sebutir mutiara yng bersinar dalam keluarganya. Fahrilah harapan mereka, Fahrilah jantung hati mereka kerana fahri satu-satunya anak mereka. Daun-daun kering yang berguguran walaupan sehelai, semuanya berlaku dengan izin Allah.
Suasana nyaman itu agak tenang dan mendamaikan. Namun Fahri merasakan hatinya membahang. Memikirkan persoalan yang entahkah wujud atupun tidak jawapannya. Remaja asyik berbicara tentang cinta. Bagi mereka cinta satu kemestian. Melihat teman-teman umpama belangkas kehulur ke hilir demi sesaat kepuasan? Adakah menunggu natijah dan bala baru merasakan keinsafan? Umur baru setahun jagung, hingus masih dilap ibu, sudah pandai bermain api cinta. Apa salah ke,kolot ke mereka yang tidak bercinta?Hidup dalam kelompok masyarakat yang akhlak, Fahri harus bijak menilai sesuatu. Manusia memang susah menerima nasihat. Pantang ditegur,mulalah mencerakinkan satu–satu persatu kelemahan orang itu demi menunjukkan bukan dia sahaja yang melakukan kesalahan. Memang benar andai setiap manusia tidak pernah terlepas daripada menelan duri kesilapan dalam kamus hidup. Kalaulah manusia memiliki prinsip seperti padi, makin berisi makin tunduk, pasti semua masalah dapat diuraikan kekusutannya.

“Eh!Fahri, kau tak payah la susah-suasah nak nasihat aku.
Aku tahulah jaga diri aku. Apa kau bimbang aku jadi macam mak kau?”
Ujar Lina dalam nada menyindir.”Mak aku? Kenapa dengan mak aku?”
Soal Fahri kebingungan.”Eleh buat-buat tak tahu! Dasar anak luar nikah!”Pang!
Satu tamparan hebat hadiah daripada fahri atas ucapan Lina.”Soal maruah diri aku, kau jangan nak main-main! Apa,kau ingat kau..."Fahri tak dapat menahan kata-katanya. Dia sebak lantas mengambil beg dan terus pulang.
Fahri masih dibayangi dengan peristiwa tiga hari lepas. Hatinya tidak tenang. Jiwanya resah. Selesai subjek Sejarah, Fahri pulang agak lewat sedikit kerana dia perlu membersihkan kelas. Bimbang dia terlewat kerana jarak rumahnya dengan sekolah bukanlah dekat. Ketika asyik mengemas meja guru,dia terasa bahunya dipegang oleh tangan seseorang. Lantas sepantas kilat dia memalingkan badannya. Tangan itu menjalar ke pipinya. Fahri cuba untuk menjerit,namun terhalang seakan kerongkongnya tersumbat.”Ala,rilek Fahri.Ini ringan-ringan je.” ”Binatang kau!” Fahri meludah tepat ke arah muka lelaki tersebut lantas bergegas mengambil beg untuk pulang. Kerja membersih kelas dibiarkan separuh jalan. Sambil mengesat mukanya dengan tisu yang tersedia diatas meja guru, dia menjerit:”Eh anak luar nikah! Sedar diri sikit! Kau tu bukannya suci sangat!”Dia masih lagi trauma dengan kalimah anak luar nikah! Seakan terngiang-ngiang kalimah itu dicuping telinganya.
Baru tadi dia memastikan nama ibu pada sijil kelahirannya berbeza dengan nama yang tertera pada kad pengenalan Mak Leha. Tahulah dia bila dipastikan ayahnya yang bernama Abdullah, segalanya terjawab. Benarlah anggapan dan omelan teman-temannya. Kebetulan Pak Leman baru memasuki rumah seselesai berjemaah di surau. Lantas Fahri menuju ke arah Pak Leman dan memeluk ayahnya seeratnya. Mak Leha bergegas ke ruang tamu tatkala mendengar tangisan anak emas mereka.Fahri menatap mata ayahnya. ”Ayah,jujurlah dengan Fahri.Siapa Fahri sebenarnya ayah?Katakanlah ayah,Fahri bukan anak luar nikah! Fahri bukan anak pungut ayah.”Pak Leman beristighfar. Mengucap. Tergamam. Mak Leha duduk di atas kerusi .
Sebak.Terlalu sedih. Hatinya masih belum bersedia untuk kehilangan Fahri. Fahri seakan orang yang terkena histeria. Masih terkejut dengan rahsia yang baru terbongkar.”Jadi,Rizal tu……,dan lebih tepat penghulu kampung itu adalah...."Pak Leman menggangguk walaupaun ayat itu tidak penuh kerana dia seakan dapat membaca fikiran anaknya itu. Fahri masih sedih. Dia masih belum dapat melelapkan mata walau jam telah menunjukkan tepat jam tiga pagi. Persoalannya telah terjawab. Namun dia hilang kepercayaan kepada penghulu. Dimana sikap kepimpinan seorang ketua andai dia membuang cucunya sendiri. Inilah masyarakat yang mengheret sama anak yang tak berdosa ke lembah kemaksiatan bersama ibu bapa mereka. Meskipun mereka semua tahu,andai diberi pilihan,lebih baik tiada daripada ada. Lahir daripada rahim ibu yang memperjudikan hidup dengan setitis nafsu bersama kaum Adam di lembah hina. Namun Fahri nekad,walau apapun terjadi,dia tak akan meninggalkan Pak Leman dan Mak Leha meskipun Fahri tahu siapa keluarganya yang sebenarnya.
Dua minggu berlalu,ketika kelas matematik riuh rendah apabila seorang anggota polis datang mengetuk pintu. Selepas berbicara dengan cikgu Latifah,kelihatan penghulu yang datang dari arah pejabat terus menerkam ke arah Rizal kerana tuduhan memperkosa Lina,teman sekelasnya. Fahri menatap sayu mata insan yang sepatutnya tapi tak selayaknya dipanggil datuk. Dia sedar,semakin tinggi kemajuan,makin lupus ketamadunan .Kuasa dan pangkat menjadi manusia lupa diri. Lantas demi menjaga nama baik keturunannya,Fahri “dijual” pada pasangan yang berhati mulia untuk menerimanya. Meskipun seakan tidak percaya, Rizal adalah adik kandung pada insan yang telah meminjamkan rahimnya untuk melahirka aku ke dunia. Tidak hairanlah ada yang bertanya,adakah mereka kembar? Rupanya ada rahsia yang tersirat disebalik iras wajah yang tersurat. Dan mereka yang telah menjadikanya telah dihukum buang daerah hampir 15 tahun lepas dan tak dibenarkan pulang ke kampung ini.

Hari ini…Ya,Rizal kita tetap saudara. Apa yang terjadi kepada Lina dan Rizal benar-benar memberi keinsafan kepada Fahri dan teman-temannya. Pasti ada hikmah disebalik ujian. Jangan tika ditelus duga kita goyah, tika diberi nikmat kita alpa. Dan Fahri perlu untuk menghadapi kenyataan siapa dirinya sebenarnya. Pada insan yang tak layak ku gelar bapa,meninggalkan aku tanpa bicara,moga hidayah Allah membimbingmu sebelum maut menjemput. Pada ibu yang tak kutahu dimana berada,meskipun payah menerima siapa aku,yang dilahirkan tanpa diundang,terima kasih. Andai kalian tahu,betapa deritanya aku yang dilahirkan dari setitik nafsumu yang diladungi dosa kemaksiatan, pasti kalian masih tidak mampu untuk menjernihkan kembali kolam hati yang berlumpur kesedihan.Dan andai diberi kesempatan,dia ingin bersalam dan menzahirkan segalur penghargaan pada seorang insan yang sudi menerima kehadirannya selama 9 bulan di dalam laman rahim seorang wanita.Biarlah yang lepas itu adalah sejarah. Esok adalah masa depan…………
Read more
J3fry
DEC 199.. Lahirlah aku ke dunia ini. Setelah sembilan bulan mak mengandungkan aku, akhirnya aku memijak di bumi ini. Aku ditatang bagai minyak yang penuh oleh kedua-dua ibu dan bapaku. Lagipun, aku merupakan putera sulung dalam keluargaku. Sudah semestinya kelahiranku amat diraikan.Aku masih ingat, ketika aku masih kecil, aku suka bergambar. Aku akan terus berdiri tanpa berganjak sehingga ayahku merakam fotoku. Jika tidak, aku akan merajuk sepanjang hari. Aku amat bertuah kerana mak dan abah tidak pernah lupa mengadakan sambutan menyambut tahun kelahiranku setiap tahun. Pening jugak mereka melayan kerenahku yang selalu menginginkan pelbagai jenis koleksi anak-anak patung. Abahku akan mengadakan beberapa jenis permainan bagi memeriahkan lagi suasana sambutan tersebut. Ditambah pula hidangan makanan yang disediakan sendiri oleh ibuku yang sememangnya pakar di dapur. Segalanya amat sempurna!Dalam menjalani kehidupan dalam sebuah keluarga yang hanya mempunyai bilangan ahli keluarga yang kecil, hubungan aku dan keluarga amat rapat. Aku merupakan anak tunggal yang manja. Ayahku seorang yang amat kelakar walaupun dari segi fizikalnya amat berlawanan sekali. Ibuku pula seorang yang agak garang tetapi penyayang orangnnya.Pernah suatu ketika, aku hanya ditemani oleh ibu. Aku sedang menonton rancangan yang berbentuk drama dari kaca televisyen. Drama tersebut menceritakan tentang seorang anak yang kehilangan ibunya. Aku terus memeluk ibuku dan bertanyakan bahawa adakah ibuku akan meninggalkanku jua suatu hari nanti. Ibuku menjawab bahawa setiap yang hidup pasti akan meninggalkan dunia ini juga suatu hari nanti. Air mataku tidak dapat terus bertakung. Suatu hari, aku dikejutkan bahawa ibuku dimasukkan ke hospital ketika aku pulang dari sekolah. Susah untukku terangkan bagaimanakah perasaanku ketika itu. Setibanya aku di hospital bersama pak ngahku, ayahku segera memelukku. Perasaanku berasa amat takut untuk mendengar tentang khabar ibuku. Aku tidak dapat melawat ibuku pada malam tersebut tetapi melihat keadaan ayahku, aku berasa takut untuk menduga.Kira-kira pada pukul 5.00 pagi, aku mendapat panggilan menjemputku ke hospital dengan segera. Ketibaanku di hospital disambut dengan tangisan daripada nenekku serta ahli keluargaku yang lain. Pada pagi itulah, aku dapat melihat ibu. Hati anak manakah yang tidak terusik melihat ibunya sedang terbaring lemah tanpa sedarkan diri? Dengan ditemani oleh salah seorang ibu saudaraku, aku dibawa melihat ibu. Keadaan ibu yang dikelilingi oleh pelbagai jenis wayar amat menyayat hati. Aku melangkah lemah dan mencium kaki ibu. Air mataku mengalir tanpa dapat kutahan lagi.. Sudah menjadi rutin harianku untuk melawat ibu pada setiap hari. Aku melihat abah tidak lekang berada disisi ibu. Aku tahu bahawa abah turut bersedih melihat keadaan ibu tetapi dia tidak pernah menunjukkan kesedihannya di hadapanku agar aku tidak terus menangis.Kadang-kala, aku berasa berat hati untuk melawat ibu. Bukan kerana bosan mahupun letih, tetapi aku tidak sanggup melihat ibu terlantar di atas katil dengan tidak sedarkan diri.. Keadaan ibu tidak pernah kukongsikan kepada sesiapa kecuali beberapa orang teman rapatku setelah mereka menyedari akan ketidak hadiranku di sekolah.Sebenarnya, aku lebih lebih suka berkongsi kegembiran bersama-sama mereka tetapi bukan kesedihanku. Tetapi, aku berasa terharu dengan keprihatinan mereka setelah dikhabarkan tentang ibu. Dorongan yang tidak putus-putus kuterima daripada mereka amat memberi kekuatan kepada diriku..
Hari demi hari berlalu sehingga pada suatu hari, aku mendapat panggilan daripada ayahku agar segera ke hospital kerana keadaan ibuku semakin tenat. Hati diulit rasa resah dan ingin segera tiba di hospital. Bagiku, perjalanan ke Hospital Seberang Jaya, Pulau Pinang pada hari tersebut merupakan perjalanan yang paling lama memakan masa bagiku. Disepanjang perjalanan juga, ayahku menelefonku memberitahu bahawa ibuku dalam semakin tenat dan pernafasan ibu semakin lemah. Aku tahu, ketika itu ayah sebenarnya ingin memberitahuku supaya tabah dan bersedia kerana ibu akan meninggalkanku buat selama-lamanya..Walaupun aku ditenteramkan oleh ibu saudaraku, tetapi air mataku tetap mengalir dengan lajunya.. Tiada apa lagi yang berada dalam kotak fikiranku ketika itu kecuali ibu. Akhirnya aku tiba di hospital. Tetapi, malangnya ibu telah pergi menghadap Ilahi sebelum sempat kumenemuinya. Tidak dapat kugambarkan perasaanku ketika itu. Rasanya seperti duniaku telah menjadi sunyi dan gelap gelita..

Kini, 2009 Aku menjadi seorang insan yang semakin tabah mengaharungi liku-liku hidup bersama mereka yang masih menyayangi diriku dan sentiasa bersamaku. Aku percaya bahawa setiap yang berlaku pasti ada hikmah yang tersirat di sebaliknya. Bukan simpati atau belas kasihan yang kuinginkan, tetapi aku hanya ingin berkongsi pengalaman hidupku ini bersama semua.Sayangilah ibu dan bapa anda. Sesungguhnya, syurga adalah dibawah tapak kaki ibu dan tiada siapa yang dapat mengganti tempat mereka. Bagi mereka yang telah melaluinya, jadilah anak yang soleh dan solehah serta sentiasa mendoakan mereka yag telah tiada. Semoga mereka
ditempatkan dalam kalangan orang yang beriman..


Terimalah cerpen yang x serberapa yg bagus seperti penulis yg bertauliah..heheheh
Read more